KUALA LUMPUR – Persediaan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu menjadi keutamaan sebelum menghadapi peperangan besar Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sama ada PRU-15 berlaku lambat atau cepat, persedian dan kesiapsiagaan jentera parti adalah paling utama.
“Sama ada cepat atau lambat PRU tetap akan berlaku, perkara pokok yang menjadi keutamaan kita ialah tahap kesiapsagaan jentera PRU bukan seperti berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) semua jentera berkumpul di satu kawasan.
“PRU pula lebih berskala besar jadi memerlukan persediaan yang lebih terperinci bagi memastikan UMNO serta BN kembali mendapat mandat dan kepercayaan rakyat,” katanya.
Tambah Bung Moktar lagi, mesej Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar jelas agar jentera BN di semua peringkat perlu memperkukuhkan jentera parti, gerak kerja yang tersusun dan rapi bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-15. -KOSMO! ONLINE