SEPANG – Kerajaan akan memastikan proses pembukaan sempadan negara termasuk laluan udara dan darat pada 1 April kelak berjalan dengan lancar, selamat, cekap dan tanpa banyak karenah birokrasi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memastikan Malaysia cukup bersedia dan selamat untuk pelancong.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan proses kemasukan pelancong asing di pintu udara negara dapat disingkatkan kepada 35 hingga 45 minit berbanding sejam ketika ini.
“Justeru, banyak pra-syarat perlu dipatuhi dan diselesaikan terlebih dahulu oleh pelancong asing sebelum memasuki negara termasuk memuat naik aplikasi MySejahtera dan ujian saringan Covid-19.
“Kesemua pra-syarat itu perlu dilakukan sebelum mereka menaiki pesawat sekali gus mengelak kesesakan di lapangan terbang,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat siapsiaga pembukaan sempadan negara di KLIA petang tadi yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Ujar beliau, bermula 1 April ini juga, semua fasiliti ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 akan ditutup.
Khairy Jamaluddin berkata, perincian mengenai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan negara termasuk udara dan laut akan diumumkan pada sidang akhbar pada Selasa ini.
Sementara itu, Ka Siong berkata, pihaknya akan memastikan segala urusan terutama di KLIA dan KLIA2 dapat berjalan lancar menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.
“Kali ini, kita dalam keadaan berhati-hati dan segala urusan harus dilakukan dengan baik dan dipermudahkan.
“Justeru, kita sudah arahkan semua syarikat penerbangan supaya memastikan setiap penumpang mereka memuat turun aplikasi MySejahtera kerana ia satu pra syarat untuk masuk ke Malaysia.
“Ia akan dapat mengurangkan kesesakan ketika tiba di negara ini,” katanya.
Jelas Ka Siong, program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara yang diperkenalkan sebelum ini mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan seramai 277,800 orang.
“Ia satu pencapaian yang baik sekali gus memberi impak besar kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE