PETALING JAYA – Ketika namanya sedang menjadi bahan kecaman ramai susulan adegan panas drama Perempuan Itu, pengarah terkenal Erma Fatima mencuri perhatian dengan kapsyen Instagram yang seolah-olah memberi bayangan sebuah kebenaran bakal terbongkar.
“Insya-Allah, kebenaran akan didedahkan tidak lama lagi,” tulisnya ringkas.
Berita berkaitan: Ramai ‘terbeliak mata’ tengok aksi panas Zul Ariffin
Menerusi entri tersebut, sutradara yang terkenal dengan drama Mak Cun itu turut memuat naik sekeping foto seekor harimau sedang bertapa atau dalam fasa menenangkan diri.
“Pejuang yang hebat ialah tidak pernah marah,” tulis ayat pada foto tersebut.
Sehingga kini, usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak Erma masih belum berhasil susulan dia tidak menjawab panggilan telefon.
Hasil pemerhatian, kakak kepada pelakon Umie Aida itu turut menutup ruangan komen Instagramnya.
Sehingga kini, namanya dan Zul Ariffin masih sohor kini dalam Twitter.
Sejak malam tadi, media sosial digemparkan dengan sebuah video sedutan drama Perempuan Itu yang memaparkan beberapa adegan panas lakonan Zul bersama pelakon baharu, Siti Hariesa.
Babak yang dikatakan persis filem lucah itu mendapat kritikan ramai serta turut ditegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad hari ini.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa kerana drama tersebut dikatakan bakal disiarkan pada bulan Ramadan nanti.
Selain Erma, Zul juga mengambil pendekatan berdiam diri tanpa sebarang penjelasan rasmi selepas dia mencetuskan kontroversi dengan memuat naik video tersebut.
Sebagai info, Perempuan Itu turut dibintangi Mimi Lana dan Iqbal Zulkefli.- KOSMO! ONLINE