PETALING JAYA – Tugas sebagai jurusolek pengantin atau MUA bukanlah satu tugas mudah kerana mereka memerlukan kelengkapan alat solek yang berkualiti agar tidak merosakkan kulit wajah seseorang.
Ada kalanya mereka sendiri berdepan dengan cabaran seperti pengantin yang cerewet ataupun individu di sekeliling yang sering mengganggu sepanjang tempoh bersiap.
Baru-baru ini, seorang jurusolek, @owlkay_ berkongsi kisahnya yang diganggu oleh ‘bridesmaid’ pengantin ketika sedang menata rias pengantin perempuan tersebut.
Apa yang menyedihkan, dia terpaksa menahan sabar apabila salah satu bedak kompak yang bernilai lebih RM100 telah retak akibat terjatuh ketika dipercayai dipegang oleh salah seorang rakan pengantin.
“Sebab itu MUA tak bagi ada orang lain dalam bilik solek dan dilarang sama sekali sentuh barang solek. Nak marah pun dah tak boleh,” katanya menerusi ruang kapsyen video di laman TikTok miliknya.
Sementara itu, dia turut berpesan kepada mana-mana individu agar tidak memasuki bilik pengantin atau ruang solek kerana bimbang akan mengganggu proses solekan sekali gus menjejaskan masa MUA untuk menyiapkan pengantin.
Tambahnya, ia sepatutnya menjadi ruang mempelai bertenang dan bukannya sebagai tempat untuk bersembang antara satu sama lain sehingga menjadikan suasana bilik bising.
“Pesanan daripada saya mewakili jurusolek sedunia, jangan masuk bilik pengantin sedang bersiap sebab akan bersembang dengan pengantin dan akan banyak makan masa serta proses solek pengantin.
“Jangan usik mana-mana alat solek yang dibawa oleh MUA walaupun anda semua minat sangat untuk tengok sebab satu barang pecah pun boleh cecah ratusan ringgit.
“Kesian pada pengantin nak bersiap dengan tenang, jangan datang ajak sembang, anda sabar dan tunggu di luar sahaja,” tulisnya di ruangan komen.
Rata-rata orang ramai turut menyokong tindakan dan teguran MUA tersebut dan ada juga jurusolek lain berkongsi pengalaman mereka ketika menghadapi situasi yang sama.
“Saya pun pernah alami, siap dicuba barang solek saya tanpa izin, terus saya halau keluar dan kunci bilik pintu pengantin, geram, kita ini cari pendapatan dengan kerja seperti ini, bila punca pendapatan kita diganggu, naik marah juga,” luah @MUASenawangRare. – KOSMO! ONLINE