BRASILIA, Brazil – Dua beradik lelaki yang hilang di hutan hujan Amazon selama empat minggu berjaya ditemui semula dalam keadaan masih hidup, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Glauco, 7 , dan Gleison Ferreira, 9, meninggalkan rumah mereka di Lago Capanã dalam negeri Amazonas, Brazil untuk mencari burung kecil pada 18 Februari lalu.
Apabila mereka berdua tidak pulang daripada aktiviti itu, pihak berkuasa memulakan pencarian secara meluas di hutan hujan tersebut di barat laut Brazil tetapi menamatkannya pada 26 Februari lalu.
Bagaimanapun, pada malam Selasa lalu, seorang pemotong pokok berjaya menemui dua kanak-kanak ini apabila salah seorang daripada mereka menjerit apabila mendengar bunyi gergaji rantainya.
Lelaki itu mendapati dua budak lelaki itu terbaring di atas permukaan hutan dalam keadaan lapar dan badan mereka kurus kering dengan kesan melecet pada kulit.
Ketika pasukan penyelamat membawa Glauco dan Gleison bertemu keluarga, kanak-kanak tersebut memberitahu ibu bapa mereka bahawa mereka tidak makan apa-apa semasa hilang dan terselamat hanya dengan meminum air hujan.
“Keadaan fizikal anak-anak saya sangat menyayat hati tetapi saya sangat bersyukur kerana mereka masih hidup,” kata bapa mangsa, Claudionor Ribeiro Ferreira.
Glauco dan Gleison kemudiannya dibawa ke hospital di Manicoré di mana mereka diberi rawatan kerana mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, dehidrasi dan kulit melecet sebelum diterbangkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital lain di di ibu negeri Amazonas, Manaus. – Agensi