fbpx

AS sita dua kapal kargo didakwa angkut minyak Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASIL jualan minyak tersebut dikatakan bagi membiayai kor Pengawal Revolusi Iran. - AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) merampas kargo dua kapal minyak yang didakwa mengangkut 700,000 tong minyak mentah Iran sekali gus melanggar sekatan Washington, demikian menurut kertas mahkamah.

Beberapa minggu lalu, pihak berkuasa AS merampas minyak tersebut yang dikatakan meninggalkan Iran pada 2020 dan kemudian dipindahkan ke dalam beberapa kapal lain dengan menggunakan kaedah mencurigakan bagi menyembunyikan asal-usulnya.

Kes mahkamah itu didedahkan kepada umum hanya baru-baru ini selepas minyak itu dijual semula pada harga antara AS$38 juta (RM159.6 juta) hingga AS$45 juta (RM189 juta).

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa sebuah kapal tangki Iran yang menjadi sasaran sekatan AS itu, Stark I telah dicat kembali pada Oktober 2020 untuk mengelak daripada dikesan oleh satelit. Kapal tersebut mengambil minyak  di sebuah pelabuhan Iran dan belayar.

Ketika di laut, kapal itu memindahkan sejumlah 733,876 tong minyak mentah  ke dalam sebuah kapal Panama, M/T Arina. Semasa operasi berisiko tersebut, kedua-dua kapal mematikan peralatan lokasinya.

Pada Ogos 2021, kapal Arina memindahkan sekitar 221,000 tong minyak mentah kepada kapal tangki Nigeria, M/T Nostos.

Pada Oktober tahun lalu, AS mengeluarkan waran mahkamah untuk merampas minyak tersebut. Washington mendakwa bahawa hasil jualan minyak itu disalurkan kepada pasukan Pengawal Revolusi Iran yang dianggap sebagai organisasi pengganas oleh Pentagon.

Tidak lama selepas itu, minyak yang dibawa kedua-dua kapal itu telah dirampas. Operasi tersebut dilakukan secara senyap kerana pasukan perunding sedang berusaha untuk menghidupkan kembali perjanjian nuklear Iran yang menyaksikan Presiden AS ketika itu, Donald Trump menarik diri.

Perjanjian antarabangsa itu diwujudkan bagi mengekang pembangunan program nuklear Iran sebagai pertukaran kepada penarikan semula sekatan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI