PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan hujan lebat berserta ribut petir dijangka berlaku di beberapa negeri pada sehingga awal pagi ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu dijangka berlaku sehingga pukul 1 pagi nanti melibatkan negeri Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Keadaan hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku di negeri Kedah melibatkan daerah Padang Terap, Sik dan Baling serta di Hulu Perak, Perak.
“Selain itu, keadaan sama diramal melanda seluruh negeri Kelantan serta beberapa daerah di Terengganu iaitu di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang,” katanya di sini hari ini.
MetMalaysia berkata, keadaan itu juga dijangka berlaku di Sarawak melibatkan Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Sementara itu, cuaca sama turut boleh berlaku di Sabah melibatkan daerah Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort) serta di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” tambahnya.
Katanya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. -KOSMO! ONLINE