PETALING JAYA – Tular di Twitter ciapan seorang pengguna, Eliza Nathaniel meluahkan kekecewaan apabila dihalang pengawal keselamatan ketika ingin melawat bapanya yang sedang dirawat di wad kecemasan di Selayang.
Alasan mereka adalah disebabkan wanita itu memakai kain pendek dan tidak menepati skop pemakaian pelawat di hospital.
“Saya telah dihalang masuk untuk berjumpa ayah saya di wad kecemasan di Selayang bukan sebab kes Covid-19, kawan-kawan, bukan sebab tidak dibenarkan (sebab satu orang dibenarkan pada satu masa) tetapi kerana saya dianggap berpakaian tidak sesuai.
“Saya ditegur dengan kuat, kenapa pakai kain pendek, cepat keluar, apa semua ini dan ini adalah perkara kecemasan, ingat saya sempat nak berfikir atau tukar pakaian sedangkan ayah saya berada dalam situasi kecemasan,” ciapnya kemarin.
Jelasnya, dia agak terkilan mengapa terdapat halangan untuk seseorang anak melawat bapanya yang kritikal dan berada dalam wad kecemasan hanya kerana kain yang dipakainya kurang satu inci daripada paras lutut.
“Bayangkan kalau bapa saya mati waktu itu dan saya tak sempat tengok dia kali terakhir walaupun saya dah ada di hospital tetapi sebab pakai kain pendek, hanya kena berada di luar,” luahnya. – KOSMO! ONLINE