GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu berkaitan aktiviti solat jemaah di masjid dan surau dalam tempoh terdekat.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, SOP baharu itu akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan terkini berkaitan Covid-19.
“SOP baharu ini bagi mengambil kira perkembangan langkah menangani Covid-19 selaras fasa endemik.
“Ia sedang didrafkan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) bersama agensi berkenaan, dan akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula 1 April 2022, aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat susulan pengumuman bahawa Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula bulan hadapan.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.
Kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta SOP bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau. – KOSMO! ONLINE