fbpx

Shereen pecah rekod 400m di Kansas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHEREEN pernah meraih pingat gangsa 400m Sukan SEA Singapura 2015 dan kini berpotensi untuk memenangi acara itu pada edisi kali ini.

Oleh AZIZAN HASHIM

KEJAYAAN atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy pada saingan Divisyen II Kejohanan Olahraga NCAA pada Sabtu lalu berjaya menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Shereen berada dalam kelas tersendiri pada kejohanan di Kansas, Amerika Syarikat itu apabila muncul pelari wanita pertama Malaysia berjaya me­lakukan catatan masa bawah 54 saat (s) bagi acara 400 meter (m) dalam dewan.

Catatan 53.79s dilakukan pelari berusia 23 tahun itu sekali gus memperbaharui rekod 400m dalam dewan kebangsaan, 54.58s yang dilakukan oleh Noraseela Mohd. Khalid pada 2006.

“Tahniah Shereen atas kejayaan memecahkan rekod kebangsaan acara 400m di Kejohanan NCAA Division II Amerika Syarikat. Semoga terus kekalkan legasi dan mengharumkan nama negara,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan semalam.

Shereen yang kini mengikuti pengajian di Winona State University, Minnesota, adalah atlet dalam program latihan ‘Kita Juara’ kendalian Majlis Sukan Negara sebelum ini.

Atlet berusia 23 tahun itu memilih keluar daripada program latihan MSN selepas ditawarkan biasiswa NCAA untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat.

Biarpun Shereen berjaya memperbaharui rekod dalam dewan tetapi dia masih belum memecahkan rekod kebangsaan dipegang Rabia Abdul Salam yang mencatat masa 52.56s di Manila, Filipina pada 1 Disember 1993.

Sementara itu di Ipoh, ibu kepada Shereen, Josephine Mary mahu anaknya terus berusaha memperbaiki prestasi diri.

“Bagi pihak anak saya, saya sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM),” katanya.

Josephine yang juga bekas atlet kebangsaan dalam acara 400 dan 800 meter menyifatkan kejayaan Shereen itu sebagai pencapaian membanggakan.

“Sudah tentu saya dan keluarga bangga dengan kejayaan ini.

“Apapun belum masanya untuk mendabik dada kerana perjalanannya masih jauh. Saya beri­tahu dia supaya kekal merendah diri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI