MENGANGKAT perjuangan wanita dalam naskhah seni, itu antara maksud atau teks yang hendak diperincikan dalam filem terbaharu arahan Pali Yahya berjudul Renjana.
Filem yang membawa penonton ke zaman 1900-an tersebut mengangkat pergolakan batin golongan wanita yang sering berhadapan dengan kesukaran dan cabaran dalam hidup.
Membawa kelainan ke layar perak, Renjana dibikin sebagai karya epik meletakkan seorang guru wanita pertama di Tanah Melayu bernama Che Aminah lakonan Nabila Huda dalam perjuangannya membela anak bangsa.
Menurut penerbit Mache All Star United Sdn. Bhd., Norley Aimi Nadiah Shaari, setiap paparan yang dihidangkan dalam filem tersebut merupakan sebuah jalan cerita yang unik dan menarik untuk penonton.
“Kami memberanikan diri menerbitkan naskhah klasik sebegini kerana mahu lari daripada kebiasaan atau cerita klise. Kami juga percaya cerita seperti ini mempunyai kelompok peminatnya sendiri.
“Kisah yang berlaku kepada golongan wanita pada zaman tersebut tidak diketahui ramai kerana kurang inisiatif untuk diolah menjadi sebuah karya seni. Selepas melakukan kajian dan pemerhatian, kami mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai sebuah filem,” katanya.
Tuturnya, masyarakat sering didedahkan dengan kisah-kisah pejuang tanah air lain tetapi tidak ramai mengetahui tentang kehidupan Che Aminah yang merupakan guru wanita pertama di Tanah Melayu.
“Tidak ramai yang mengetahui kisah seorang wanita yang menjadi guru pertama di Tanah Melayu.
“Tanpa sedar, dia sebenarnya lambang perjuangan wanita yang luhur dalam membela anak bangsa kita sejak dahulu,” katanya lagi.
Tambah Norley, Renjana mengambil inspirasi daripada kisah benar, namun jalan ceritanya telah ditokok tambah dengan beberapa plot lain hasil sentuhan penulis skrip Adza Emi Adenan bagi menghidupkan jalan cerita.
Cabaran utama menyiapkan naskhah ini adalah untuk menghidupkan latar masa era 1900-an selari dengan kisah Che Aminah.
“Tidak dinafikan memang banyak cabaran yang dihadapi untuk menyiapkan naskhah ini, terutama untuk mewujudkan kembali latar masa era 1900-an.
“Pihak produksi juga perlu membataskan pergerakan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan ketika itu, namun akhirnya kami mampu menyiapkan meskipun melalui beberapa kekangan.
“Kami sangat berterima kasih kepada semua pelakon yang terlibat kerana mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sehingga Renjana disiapkan,” tuturnya lagi.
Beberapa lokasi utama telah dipilih sebagai lokasi penggambaran iaitu Ayer Keroh, Melaka, Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur dan Taman Botani Shah Alam, Shah Alam.
Selain membina prop dan busana khas serta menggunakan lokasi sedia ada, beberapa perincian lain turut diambil kira bagi memastikan keseluruhan ‘visual’ Renjana berlatarkan era 1900-an.
Gembira dengan hasilnya, Norley bersyukur apa yang digambarkan berjaya direalisasi meskipun perlu menghabiskan sejumlah besar bajet untuk set penggambaran.
“Semua ini telah memberi kepuasan tidak terhingga kepada semua apabila Renjana bakal ditayangkan. Kita berharap penonton akan menyambut baik naskhah yang sememangnya berbeza daripada karya lain.
“Kami berbesar hati sekiranya penonton dapat melanggan dan memberi maklum balas kepada Renjana. Ini yang kami harapkan,” katanya.
Renjana mula menemui penonton pada 17 Mac menerusi saluran Astro First 480.
Ditangan Nabila Huda selaku Che Aminah, Renjana mengisahkan kehidupan wanita berasal dari Pulau Pinang itu yang dipandang ‘sial’ oleh penduduk kampung.
Berkahwin dengan Ramlee, Che Aminah kemudiannya dicurangi sehingga diceraikan sebelum dipertemukan dengan Johan dan akhirnya mendapat semangat baharu.
Dia belajar membaca dan menjadi guru wanita pertama di sebuah sekolah di Seberang Perak pada tahun 1900-an.
Selain Nabila Huda, naskhah hebat tersebut turut menampilkan lakonan Saharul Ridzuan, Fauzi Nawawi, Aida Aris dan Hasnul Rahmat.
Renjana turut dibintangi oleh Kodi Rasheed, Nadia Aqeelah, Zamarul Hisham, Mak Wan Latah, Sefik Khair dan pelakon kanak-kanak, Dura Mitilda.