fbpx

Ramai jadi ‘gila’ akibat gangguan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk, Norhayati Mat Nawi menyediakan bekas kosong bagi mengisi air bersih di Kampung Sementeh, Temerloh semalam.

TEMERLOH – Ketiadaan bekalan air bersih yang telah berlarutan sejak dua bulan lalu di Kampung Sementeh di sini memberikan bebanan besar kepada lebih 100 keluarga untuk meneruskan kehidupan dan aktiviti harian.

Lebih membimbangkan apabila masalah itu menyebabkan penduduk mengalami tekanan perasaan sehingga ada yang menjerit seorang diri kerana tidak sanggup menanggung kesulitan.

Ketiadaan air bersih itu bukan sahaja mengganggu aktiviti ha­rian, tetapi turut menyebabkan peningkatan kos sara hidup apabila penduduk terpaksa membeli air selain mesin basuh automatik dan mesin penapis air rosak.

Tinjauan Kosmo! mendapati, penduduk di kampung ber­kenaan terpaksa menggunakan air hujan yang ditadah dan air daripada beberapa tong yang disediakan pihak berkuasa untuk urusan harian.

Malah, beberapa penduduk di kampung berhampiran iaitu Kampung Sungai Leleh turut mengalami masalah sama, sehingga terpaksa menggunakan air paip bomba di tepi jalan untuk mandi dan sebagainya.

Seorang penduduk, Zamilatong Nasiah Mat Yunus, 37, berkata, ketiadaan bekalan air bersih menyebabkan urusan harian mereka terjejas khususnya untuk mandi dan membasuh selain terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membeli air minuman.

“Kehidupan kami memang susah, macam zaman dahulu kerana kini hanya mengharapkan air di dalam tong yang dikongsi beramai-ramai dan paip kami sentiasa dibuka dengan harapan ada air yang keluar untuk ditadah.

“Bukan sahaja tidak dapat mandi, namun apabila sakit perut keadaan akan menjadi lebih sulit terutama melibatkan anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mieyla Khairuddin menggunakan bekas botol minuman untuk menyimpan air bersih di rumahnya di Kampung Sementeh, Temerloh.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Siti Khaziah Samsudin,41, berkata, ketiadaan air bersih memberikan tekanan kepada penduduk sehingga ada yang terpaksa berpindah ke rumah anak-anak dan saudara.

Malah, katanya, ada yang tidak tahan dengan keadaan ini bertindak menjerit seorang diri di rumah sehingga menggemparkan penduduk kampung.

“Memang ada air disalurkan ke dalam tong air disediakan, tetapi ia tidak mencukupi kerana bukan semua rumah diletakkan tong, jadi ia memang amat menyusahkan. Ada juga warga emas yang tidak dapat solat ke­rana tiada air.

“Perkara ini telah diadukan kepada pihak berwajib, namun mereka menyatakan ia disebabkan tekanan air, entah berapa lama lagi kami akan terus terseksa begini apatah lagi dalam ber­hadapan bulan Ramadan dan Hari Raya tidak lama lagi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mieyla Khairuddin, 35, berkata, ketiadaan air bersih menyebabkan mesin basuh automatiknya serta penapis air rosak memaksa dia membeli mesin basuh manual.

Katanya, dia juga terpaksa menyimpan air dalam botol mineral bagi digunakan untuk ke tandas dan urusan di dalam rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI