BERBICARA tentang pulmonari hipertensi, ia merupakan salah satu masalah darah tinggi berpunca daripada salur darah atau arteri di bahagian paru-paru dan juga kanan jantung.
Antara penyebab penyakit pulmonari hipertensi adalah pembuluh darah semakin sempit, salur darah tersumbat atau kerosakan salur darah di bahagian paru-paru.
Ketiga-tiga penyebab ini membuatkan pengaliran darah di paru-paru menjadi perlahan dan tekanan darah di bahagian arteri tersebut meningkat.
Disebabkan itu, jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk memastikan perjalanan darah adalah optimum.
Apabila jantung bekerja secara maksimum, lama-kelamaan ia akan menjadi lemah dan gagal berfungsi dengan optimum.
Keadaan ini boleh menyebabkan kegagalan pada jantung.
Sesetengah pesakit pulmonari hipertensi mendapat kegagalan jantung secara perlahan-lahan dan ada yang berlaku secara mendadak.
Walaupun sesetengah masalah pulmonari hipertensi tiada penawarnya, namun rawatan yang diterima di hospital boleh mengurangkan gejalanya, selain dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Kebiasaannya, pesakit akan mendapat gejala berkaitan penyakit ini secara perlahan-lahan.
Simptomnya boleh dilihat dalam tempoh berbulan-bulan atau bertahun.
Antara simptom pulmonari hipertensi adalah seperti sesak nafas yang berterusan.
Pada mulanya sesak nafas berlaku semasa bersenam.
Ia kemudian menjadi semakin teruk, yang mana pesakit akan mendapat sesak nafas walaupun semasa berehat.
Selain itu, pesakit akan sentiasa rasa letih dan tidak bermaya, mahu pitam dan pening, sakit atau rasa menekan di bahagian dada, bibir dan kulit menjadi biru serta jantung berdebar.
Dalam pada itu, jantung normal mempunyai empat ruang, iaitu dua ruang di bahagian atas yang dinamakan atria dan dua lagi di bahagian bawah (ventrikel).
Setiap kali darah yang tidak beroksigen melalui jantung, bahagian bawah jantung kanan atau ventrikel kanan akan mengepam darah kepada paru-paru melalui salur darah utama dinamakan pulmonari arteri.
Semasa darah tidak beroksigen melalui paru-paru, karbon dioksida akan dilepaskan dan oksigen akan diserap oleh sel darah merah.
Semua proses pemindahan oksigen ini berlaku secara mudah melalui salur darah di paru-paru (pulmonari arteri), salur darah kapilari dan vena.
Ia akan disalurkan terus kepada bahagian jantung sebelah kiri.
Namun, jika terdapat perubahan pada sel-sel di bahagian pulmonari arteri, dindingnya akan menjadi keras, bengkak dan tebal.
Proses ini menyebabkan pergerakan darah menjadi perlahan atau terhenti kepada paru-paru, menyebabkan masalah pulmonari hipertensi.
Terdapat beberapa risiko yang membuatkan seseorang itu boleh mendapat masalah pulmonari hipertensi.
Antaranya, sejarah keluarga yang mempunyai masalah pulmonari hipertensi, berat badan berlebihan atau obesiti, masalah pembekuan darah tidak normal atau mempunyai ahli keluarga yang ada sejarah darah beku di paru-paru serta terdedah kepada asbestos.
Pesakit pulmonari hipertensi perlu diberikan rawatan bagi mengurangkan risiko komplikasi penyakit tersebut.
Rawatan bukan sahaja dapat melambatkan proses komplikasi, ia juga boleh mengurangkan simptom dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Antara komplikasi penyakit pulmonari hipertensi adalah pembengkakan otot di bahagian kanan jantung dan kegagalan jantung.
Bahagian kanan jantung akan membengkak bagi mengepam darah dengan lebih efisien kepada paru-paru disebabkan salur darah pulmonari arteri yang mengecil atau tersumbat.
Jika pembengkakan itu semakin teruk, otot jantung tidak mampu untuk mengepam dengan sempurna dan kegagalan bahagian kanan jantung berlaku.
Pesakit juga berhadapan risiko mengalami darah beku di bahagian salur darah di paru-paru, pengepaman jantung tidak sekata, pendarahan paru-paru dan komplikasi semasa mengandung yang boleh menyebabkan risiko keguguran.
Pelbagai ujian akan dilakukan oleh doktor jika pesakit mempunyai simptom pulmonari hipertensi.
Antaranya, ujian darah, pengimejan iaitu x ray dada, echocardiogram, imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
Selain itu, ujian elektrokardiogram, right heart catheterization, turut dibuat selain mengambil sampel biopsy di bahagian paru-paru.
Dalam pada itu, terdapat pelbagai jenis rawatan bagi masalah pulmonari hipertensi.
Seperti dimaklumkan sebelum ini, rawatan adalah untuk melambatkan proses komplikasi dan juga meningkatkan kualiti hidup dengan mengurangkan simptom sesak nafas.
Antara rawatan tersebut termasuk pemberian ubat bagi membuka salur darah paru-paru yang mengecil atau tersumbat.
Selain itu, ubat pencair darah atau warfarin turut diguna untuk mengurangkan risiko pembentukan darah beku di bahagian salur darah paru-paru.
Bagi pesakit yang mempunyai masalah rentak jantung tidak sekata, mereka diberikan ubat bagi memastikan jantung boleh mengepam dengan lebih kuat dan efisien.
Terapi oksigen pula diberikan kepada sesetengah pesakit yang mempunyai masalah sleep apnea atau tinggal di kawasan beraltitud tinggi.
Jika semua rawatan di atas tidak dapat mengurangkan simptom penyakit itu, pembedahan akan dilakukan.
DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara.