fbpx

Niat bantu suami jadi serius berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA cekal ini tekad membantu suaminya meringankan beban komitmen yang ditanggung sebelum serius menjalankan perniagaan.

SIAPA sangka niat hanya untuk membantu suami meringankan beban satu ketika dulu menjadi titik tolak kepada wanita berusia 36 tahun ini menjinakkan diri dalam bidang perniagaan.

Menurut Sharifah Nur Zahiyan Syed Abdullah, niatnya untuk membantu suami yang ketika itu bekerja seorang diri hanyalah suka-suka dan sekadar meringankan komitmen bulanan sahaja.

Kata Sharifah, dia bukanlah membantu dengan bekerja secara sepenuh masa tetapi berbekalkan minat bisnes dalam diri, dia mulakan secara perlahan-lahan.

“Memang langsung tak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk serius lakukan perniagaan seperti sekarang kerana sebelum ini saya memang hanya suri rumah sepenuh masa yang sibuk menguruskan anak-anak.

“Kalau sebelum ini saya tengok suami bersusah payah bekerja menampung keluarga. Jadi terdetik di hati untuk buat bisnes secara separuh masa dari rumah.

“Macam-macam produk saya pernah jual termasuk baju kurung, jubah, tudung dan barang-barang kosmetik secara dalam talian,” katanya memulakan bicara bersama Aura.

Sharifah tidak menyangka dia yang dahulunya hanya sebagai suri rumah tangga sepenuh masa kini berubah menjadi usahawan dan mempunyai syarikat sendiri.

Tambah Sharifah, pertolongan ‘kecilnya’ kepada suami ketika itu merupakan titik tolak buat dirinya untuk bangkit menjalankan perniagaan secara serius dan bukan lagi sekadar suka-suka.

Ujar wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, rezekinya dimudahkan Tuhan apabila wang hasil perniagaannya dapat digunakan untuk membuka sebuah kedai kecil di negeri kelahirannya bagi menempatkan variasi produk yang dijualnya pada ketika itu.

“Jadi dari situ saya mula fokus dan betul-betul letak 100 peratus minat serta kesungguhan kepada bisnes sebab saya nampak hala tuju perniagaan yang saya usahakan itu.

“Beberapa tahun berniaga dan ada kedai sendiri, maka tercetuslah idea dan inspirasi untuk perkenalkan komsetik sendiri menggunakan label Sarabella Beauty Skincare.

“Uniknya nama Sarabella itu diambil bersempena nama satu-satunya anak perempuan saya sekali gus sebagai satu suntikan semangat untuk terus gigih mempertahankan empayar perniagaan yang dibina,” katanya.

Meneruskan perkongsian, Sharifah mengakui dalam setiap apa pun perniagaan yang dilakukan pasti ada cabaran dan rintangan tersendiri, begitu juga dirinya.

KELUARGA terutama anak-anak antara individu terawal yang menjadi saksi kepada jatuh bangun Sharifah dalam arena perniagaan yang diceburi.

Beritahunya, dia pasti akan berasa sedih dan sayu setiap kali mengenang jatuh bangun pada peringkat awal dirinya menceburi perniagaan.

“Pada tahun 2012 berbekalkan modal simpanan Amanah Saham Berhad (ASB) sebanyak RM22,000, saya nekad dan memberanikan diri untuk melaburkan wang tersebut kepada sebuah syarikat perunding dan pemasaran yang agak dikenali namun rezeki saya ternyata bukan di situ.

“Pun begitu saya bersyukur sekurang-kurangnya dapat mempelajari dan menimba banyak ilmu pemasaran dan dapat diaplikasikan bagi menjual produk sendiri dalam platform online ketika ini.

“Paling tidak boleh saya lupa, pada tahun 2017, berbekalkan baki simpanan ASB sebanyak RM20,000, sekali lagi saya pejamkan mata untuk digunakan sebagai modal bagi menjual pelbagai produk keluaran syarikat,” ujarnya.

Akui Sharifah yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan syarikat Zaheeya Enterprise yang mengeluarkan produk Sarabella Foundation, cabaran, rintangan dan ujian yang diberikan kepadanya secara tidak langsung menjadi salah satu pencetus kepada dirinya untuk terus bersemangat mengemudi kembara perniagaan yang susah payah dibangunkan sebelum ini.

SUAMI menjadi pendorongdan sumber inspirasi dalam setiap apa yang dilakukan Sharifah.

Mengakhiri kata-kata, Sharifah turut berpesan kepada mana-mana wanita untuk tidak sesekali malu ataupun berasa rendah diri terutama jika mempunyai minat mendalam untuk bergelar usahawan sepertinya.

Sharifah pada masa sama turut mengalu-alukan mana-mana individu tidak mengira jantina umumnya wanita yang ingin menambah pendapatan sampingan untuk turut serta bersama syarikatnya sebagai pengedar.

Maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan mengenai produk serta pendaftaran sebagai ejen, boleh hubungi nombor 016-8608 350 atau layari Facebook dan Instagram @SaraBellaBeautySkincare – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI