WASHINGTON – Aplikasi Starlink yang dibina oleh Elon Musk bagi membolehkan orang ramai untuk mengakses perkhidmatan internet berasaskan satelit, adalah paling banyak dimuat turun di Ukraine, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX berusia 50 tahun itu mewujudkan akses sistem satelit-internet Starlink kepada penduduk di Ukraine. Kira-kira 2,000 satelit itu direka khas untuk menyediakan akses internet ke kawasan yang kurang mendapat liputan di dunia.
Ia membolehkan penduduk memintas sebarang gangguan internet dengan laporan berkaitan gangguan semakin meningkat di seluruh Ukraine sejak serangan Rusia tiga minggu lalu.
Angka menunjukkan bahawa aplikasi Starlink telah dimuat turun hampir 100,000 kali di Ukraine dengan muat turun global lebih tiga kali ganda sejak beberapa minggu lalu.
Menurut akhbar Daily Star, bilionair itu telah mencabar Presiden Vladimir Putin untuk ‘pertarungan satu lawan satu’ dengan taruhannya adalah Ukraine.
“Saya dengan ini mencabar Vladimir Putin (ditulis dalam bahasa Rusia) untuk satu pertarungan.
“Pertaruhan adalah Ukraine. Adakah anda bersetuju untuk pertarungan ini?’’ demikian ciapannya di laman Twitter.
Sebuah organisasi yang menyediakan data kedai aplikasi internet, App Store dan Google Play, Sensor Tower berkata, Starlink telah dimuat turun lebih 21,000 kali di seluruh dunia pada Ahad lalu.
Organisasi itu berkata, angka itu memecahkan rekod untuk kebanyakan aplikasi global dalam satu hari. Sebahagian besar muat turun dibuat dari Ukraine. – Agensi