TANJUNG MALIM – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 386.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.
Nahas itu mengorbankan mangsa, R. Kannan, 39, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 8.40 malam melibatkan sebuah lori kontena dipandu lelaki berusia 29 tahun dan motosikal mangsa.
Katanya, motosikal dari arah Kuala Lumpur menuju ke Ipoh itu disyaki hilang kawalan sebelum terbabas dan menyebabkan mangsa terjatuh di lorong tengah lebuh raya.
“Sebuah treler dari arah belakang cuba mengelak dari melanggar mangsa hingga menyebabkan kenderaan itu terbabas masuk ke dalam longkang.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori kontena cedera ringan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika kejadian, keadaan cuaca hujan dan lalu lintas bergerak perlahan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE