THE HAGUE, BELANDA – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada kelmarin mengarahkan Rusia untuk menamatkan segera perang ke atas Ukraine dengan menegaskan bahawa ia amat prihatin berhubung serangan berterusan Moscow, lapor agensi berita United Press International.
Pengumuman tersebut disifatkan sebagai ‘simbolik’ dengan ketiadaan wakil dari Kremlin bagi menghadiri prosiding tersebut.
Kerajaan Ukraine awal bulan lalu telah meminta mahkamah tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu untuk mengambil tindakan segera selepas Moscow menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.
“Persekutuan Rusia perlu dengan segera menghentikan operasi ketenteraannya yang bermula pada 24 Februari 2022 di wilayah Ukraine,” demikian menurut kenyataan mahkamah.
Tambah hakim, Rusia juga perlu memastikan bahawa tiada sebarang unit bersenjata yang dikawal atau disokong oleh Moscow boleh meneruskan operasi ketenteraannya seperti yang dinyatakan.
Jelas ICJ, Rusia dan Ukraine juga perlu mengelak daripada sebarang tindakan yang akan memburukkan lagi situasi perang.
Mahkamah bagaimanapun tidak mempunyai apa-apa cara untuk memaksa Moscow patuh kepada arahan tersebut. Dalam beberapa kes sebelum ini, terdapat negara-negara yang mengabaikan perintah itu.
Negara-negara yang enggan mematuhi perintah ICJ boleh dirujuk kepada Majlis Keselamatan PBB, di mana Rusia mempunyai kuasa veto.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam satu kenyataan di Twitter menyambut baik ‘kemenangan’ tersebut.
“Ukraine memperoleh kemenangan sepenuhnya dalam kes melawan Rusia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. ICJ mengarahkan Moscow untuk menghentikan serangan.
“Perintah itu perlu dipatuhi di bawah undang-undang antarabangsa. Rusia perlu mematuhinya segera. Jika mengabaikan perintah itu, mereka akan terus dipulaukan dengan lebih teruk,” kata Zelenskyy.
Dalam pada itu, Kremlin pada semalam menolak perintah tersebut dengan menyatakan bahawa kedua-dua pihak perlu bersetuju sebelum perintah itu dilaksanakan. – AGENSI