PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkenaan negeri Sabah dan memandang serius isu kedaulatan negara, termasuk kedaulatan serta keutuhan negeri tersebut di dalam Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menegaskan pendirian bahawa Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.
“Tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa adalah tidak sah dan melanggari undang-undang.
“Ini adalah kerana pelantikan penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan yang dikeluarkan oleh beliau adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas Ismail Sabri, walaupun pelantikan Dr. Stampa telah dibatalkan tetapi beliau tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan telah meneruskan prosiding timbang tara tersebut sehinggalah beliau mengeluarkan Final Award tersebut.
“Bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award tersebut pada 3 Mac lalu di Mahkamah di Paris, Perancis.
“Ia bagi memastikan keputusan Final Award tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan tetap komited untuk menyelesaikan isu tersebut secara tuntas dan muktamad.
“Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan negeri Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE