OSLO – Sebuah kapal layar milik oligarki Rusia (golongan elit) dilaporkan tersekat di pelabuhan Norway kerana penjualan minyaknya yang tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.
Kapal Ragnar itu dimiliki oleh bekas ejen Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB), Vladimir Strzhalkovsky yang telah dikaitkan dengan Presiden Vladimir Putin. Beliau bagaimanapun tidak tersenarai dalam sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU).
Kapal layar itu telah terkandas di pelabuhan Narvik sejak 15 Februari lalu.
“Kami dapati berlaku diskriminasi terhadap pihak kami, sangat tidak adil,’’ kata kapten kapal layar itu, Robert Lankester menerusi satu mesej. Lankester yang merupakan warga Britain itu menegaskan bahawa tiada anak kapalnya berbangsa Rusia.
“Kami adalah kru Barat seramai 16 orang. Kami tiada kaitan dengan pemiliknya,’’ katanya kepada penyiar awam NRK.
Pembekal-pembekal bahan api tempatan berkata mereka tidak mahu membantu mana-mana pihak yang dikaitkan dengan Rusia.
Kapal layar sepanjang 68 meter itu memiliki satu ruang yang direka menyerupai sebuah pub Britain, menawarkan peralatan ski heli, empat skuter ski dan gelongsor gergasi, demikian menurut laman web kapal layar, Boat International. – Agensi