SEBERANG PERAI – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) dari Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini resah memikirkan nasib dan masa depan dirinya serta anak perempuannya yang juga OKU.
Nor Azwa Azmi, 41, berkata, kehidupannya bertambah perit apabila kaki kirinya terpaksa dipotong paras betis empat tahun lalu ekoran menghidap penyakit kencing manis selain penyakit darah tinggi dan buah pinggang.
Katanya, urusan penjagaannya dan anak bongsu yang cacat kedua-dua kaki sejak lahir, Nik Nurul Nabila Nik Hamzah berusia 14 tahun banyak dilakukan oleh ibunya, Wan Salmah Hashim, 65, serta anak lelaki sulung, Nik Nasrul Najmi Nik Hamzah, 21.
“Walaupun anak lelaki hanya kerja ambil upah harian, tapi ada dapat sikit duit belanja. Itu pun banyak digunakan untuk membeli barang keperluan harian,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, meskipun mendapat bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM450 sebulan, namun masih belum mencukupi.
Menurutnya, dia perlu mencari dana bagi pembiayaan kos pembedahan pada lengan kirinya sebanyak RM10,000 disebabkan mengalami kesan sampingan selepas menjalani dialisis buah pinggang sejak 2019.
“Pembedahan ini untuk mengurangkan kesan sampingan seperti jangkitan kuman selain bahagian muka dan kaki membengkak disebabkan dialisis.
“Kalau sudah bedah dan memasangkan tiub pada lengan kiri, ia akan mengurangkan kesan sampingan dan doktor akan berhenti menggunakan tiub pada dada ketika dialisis,” katanya.
Nor Azwa memberitahu, dia terpaksa meraih simpati jiran untuk urusan ulang-alik ke Hospital Seberang Jaya, Hospital Kepala Batas dan Pusat Haemodialisis Zakat Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan berkala.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB miliknya 7021242540 atau hubungi Nor Azwa di talian 018-940 5483.