fbpx

Bolehkah hidup tanpa makanan segera?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Baru-baru ini, tular satu berita mengenai seorang peminat McDonald’s di Moscow, Rusia, yang menggari tangannya pada pintu sebuah premis sebagai tanda protes terhadap arahan penutupan operasi rangkaian restoran makanan segera itu di negara tersebut.

Lelaki bernama Luka Safronov itu dirakam membuat bantahan beberapa jam sebelum McDonald’s ditutup di seluruh Rusia sebagai tindak balas serangan ke atas Ukraine.

Selain lelaki itu, orang ramai turut beratur panjang di keba­nyakan cawangan McDonald’s di Moscow bagi mendapatkan hidangan kegemaran mereka sebelum operasinya ditutup sementara bermula 14 Mac lalu.

Berdasarkan situasi yang berlaku di Rusia ini, pernahkah kita terfikir bagaimana keadaan kehidupan kita sekiranya tiada satu pun restoran makanan segera beroperasi di negara ini?

Adakah rakyat Malaysia akan kelaparan pada waktu malam, pesanan pada aplikasi penghantaran makanan berkurang atau budaya melepak di restoran makanan segera bakal terhapus?

Mampukah Malaysia menjadi masyarakat yang lebih sihat hanya semata-mata mengurangkan pengambilan atau langsung tidak menjamah makanan segera?

Menurut Pegawai Dietetik Pemakanan Hospital Pakar KPJ Damansara, Farah Farhanah Hashim, restoran makanan segera pertama yang dibina di Malaysia adalah pada 59 tahun yang lalu, iaitu A&W pada 1963.

“Jadi, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa atau memeranjatkan sekiranya rakyat Malaysia juga akan melakukan perkara yang sama (sukar menerima penutupan operasi).

“Berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap remaja dan keluarga, antara faktor penyumbang utama adalah rasa yang sedap serta kewujudan restoran makanan segera yang mudah didapati, tidak kiralah di kawasan pedalaman, pekan mahupun bandar.

“Selain itu, pilihan set makanan yang pelbagai berbanding makanan di rumah, harga berpatutan dengan jumlah porsi makanan yang besar dan kesibukan kehidupan harian turut menjadi penyebab utama mengapa rak­yat Malaysia memilih makanan segera,” katanya.

Keadaan ini amat tidak sihat dan sudah pasti memudaratkan kesihatan.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Morbiditi (NHMS) 2019, kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.8 peratus pada 2019.

Situasi ini menunjukkan bahawa tabiat pemakanan rakyat Malaysia, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh makanan segera menjadi musuh utama kepada masalah obesiti di negara ini.

“Langkah yang boleh dica­dang­kan adalah kerajaan boleh me­ningkatkan kadar cukai maka­nan segera, seterusnya menaikkan harga dan mengurangkan pengguna memilih makanan segera.

“Kemasukan restoran makanan segera ke negara ini juga harus diperketatkan selain me­ningkatkan subsidi dan pengeluaran sumber-sumber mentah dari sektor pertanian bagi menggalakkan rakyat Malaysia memakan sayur-sayuran dan buah-buahan,” kata Farah Farhanah.

Justeru, di sini kita boleh lihat bahawa untuk mengawal ­tabiat yang sudah disemai selama berpuluh-puluh tahun ini bukan mudah. Selagi banyak pilihan terbentang di hadapan mata, selagi itulah kita bebas memilih apa yang kita suka tanpa mengambil kira kesan-kesan pada hari mendatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI