PETALING JAYA – Selebriti dan usahawan popular, Neelofa meminta orang ramai supaya memberinya ruang dan masa sebelum wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal didedahkan kepada umum.
Bekas pengacara MeleTOP itu berjanji akan tetap berkongsi wajah permata hatinya itu apabila telah benar-benar bersedia dan pada masa yang sesuai.
Sama seperti suaminya, Haris Ismail, Neelofa turut mengambil pendekatan tertutup mengenai cahaya matanya bagi mengelak perkara negatif seperti penyakit ain.
“Untuk mereka yang tidak berhenti mesej bertanya tentang Bilal, sebenarnya ramai yang menasihati saya tentang ada baiknya tidak mendedahkan wajah Bilal untuk mengelak beberapa perkara seperti penyakit ain.
“Bagi saya, berilah Bilal besar dan kuat dahulu. Beri masa dan ruang serta terima kasih juga buat mereka yang memahami,” katanya.
Setakat ini, Neelofa mahupun Haris belum berkongsi gambar wajah Bilal kepada umum atas alasan tertentu termasuk mengelak penyakit ain.
Selepas melalui tempoh berpantang lebih 40 hari, bekas Dewi Remaja 2009/2010 meluahkan rasa kagum dengan kaum ibu yang mempunyai anak ramai.
Menurut pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor, 33, itu, tempoh berpantang bukan satu fasa yang mudah kerana terlalu banyak perkara dilakukan dalam masa singkat.
“Saya respek kepada wanita yang ada anak ramai termasuk ibu saya (Noor Kartini) kerana bukan mudah untuk melalui tempoh itu,” katanya.
Neelofa berkongsi pengalamannya menerusi satu sesi siaran langsung Naelofar bersama aktres, Izara Aishah malam kelmarin.
Kongsi Neelofa, untuk menyesuaikan diri dengan rutin baharu sebagai ibu bukan satu hal yang mudah bagi dirinya.
“Tidak kisahlah (bersalin) normal atau pembedahan, untuk melalui saat sakit pada minggu pertama atau kedua. Untuk yang pertama kali jadi ibu pula, nak sesuaikan diri dengan rutin baharu dan nak faham tentang anak-anak, memang sangat mencabar,” kongsinya.
Neeloda dan Haris bernikah pada 27 Mac 2021 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki Bilal pada 29 Januari lalu.