fbpx

Apabila pencabul diberi jaga sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Kes penemuan mayat yang dibakar selepas dibunuh di dalam bilik bengkel kemahiran hidup sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras minggu ini benar-benar menggemparkan masyarakat.

Seorang lelaki berusia 30-an yang juga pengawal keselamatan di sekolah itu telah direman membantu siasatan.

Mangsa berusia 25 tahun itu bekerja sebagai penyelia kedai buku di sekolah itu. Polis juga mengesyaki mangsa dirogol di bilik lain sebelum dibakar di dalam bilik itu.

Biarpun masih awal membuat kesimpulan punca kematian dan apa yang berlaku dalam kes rogol-bunuh-bakar mengerikan itu, ia mengingatkan masyarakat kepada kes rogol dan bunuh Canny Ong pada 2003.

Pembunuh kes itu Ahmad Najib Aris didapati bersalah atas tuduhan membunuh pada 2005 dan selepas 11 tahun dan banyak rayuan dihukum gantung pada 23 September 2016, lebih 13 tahun selepas pembunuhan Canny Ong.

Kes Canny Ong mendapat liputan meluas media Malaysia. Malah, terdapat satu dokumentari khas yang memperincikan pembunuhan Canny Ong dari detik dia diculik di sebuah pusat beli-belah di Bangsar sehingga dirogol sebelum dibunuh.

Ahmad Najib kembali ke tempat mayat mangsa dibuang pada keesokan hari sebelum membakar mayat mangsa. Ahmad Najib juga disyaki merogol empat wanita lain tetapi tidak pernah didakwa. Ahmad Najib boleh dianggap antara perogol bersiri yang pertama negara ini.

Kes terbaharu di sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, itu juga menyamai kes Canny Ong. Seperti perogol dan pembunuh kes Canny Ong, pengawal keselamatan bujang dan berusia 30-an itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan cabul dan samun.

Persoalannya bagaimana seorang dengan kes jenayah lampau termasuk cabul dibenarkan menjadi pengawal keselamatan di sekolah? Di sekolah terdapat ramai pelajar wanita. Bagaimana seorang pemangsa seksual yang pernah mencabul wanita dibenarkan berada di sekolah? Ini seperti membiarkan serigala menjaga reban ayam.

Di negara maju, kes penjenayah seksual dipandang serius. Semua data pencabul atau perogol di setiap kawasan disimpan dan dirujuk jika berlaku sebarang jenayah seksual. Pergerakan mereka akan dipantau.

Ini kerana, penjenayah seksual dianggap mempunyai masalah mental dan terdapat kecenderungan untuk melakukan jenayah sama pada masa depan. Cuma dalam kes di sekolah ini, dia bertindak ganas termasuk disyaki merogol dan kemudian membunuh dan membakar mangsa seperti juga Ahmad Najib.

Kejadian penjenayah seksual bersiri di Malaysia agak jarang berlaku. Kebanyakan kes rogol membabitkan mereka yang dikenali dan mangsa di bawah umur.

Tetapi masalah utama bagaimana seseorang yang ada kes lampau mencabul dibenarkan berkeliaran di institusi formal seperti di sekolah. Pihak berkuasa mesti mewujudkan pangkalan data pencabul dan perogol supaya pergerakan mereka dapat dipantau.

Walaupun setiap pesalah jenayah yang telah menjalani hukuman berhak hidup seperti rakyat biasa lain, penjenayah seksual harus dimasukkan dalam kumpulan berlainan.

Ini kerana mereka berbeza. Mereka mempunyai masalah lebih besar – masalah mental – dan mungkin terus mengganas kecuali diubati di tali gantung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI