fbpx

8 diberkas ketika leka berjudi di premis hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara individu yang ditahan kerana bermain judi dalam serbuan sebuah premis hiburan di Batu 3, Jalan Ipoh malam tadi.

KUALA LUMPUR – Lapan individu termasuk dua wanita diberkas ketika sedang leka berjudi dalam serbuan di sebuah premis hiburan dekat Batu 3, Jalan Ipoh, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 11.45 malam.

“Hasil serbuan kita mendapati seramai sembilan pengunjung dilihat sedang berhibur sambil mabuk.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bilik di dalam premis itu terdapat dua penganjur serta empat individu sedang bermain judi di atas meja khas bersama cip pelbagai nilai sebagai duit pertaruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, kegiatan perjudian itu berselindung di sebalik premis pusat hiburan terbabit yang dipercayai telah beroperasi sejak dua minggu lalu.

Menurut Eng Lai, tangkapan dilakukan terhadap lapan individu itu termasuk penjaga dan pekerja premis hiburan terdiri daripada lima lelaki, dua wanita serta seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 18 hingga 62 tahun.

“Polis juga merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM2,536, 52 keping daun terup, 83 keping cip, peralatan sistem audio, satu unit bekas cip serta bekas daun terup.

“Kita turut mengeluarkan kompaun terhadap sembilan pengunjung premis tersebut kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” ujarnya.

Katanya, semakan rekod mendapati empat suspek judi mempunyai rekod jenayah atas pelbagai kesalahan dan kesemua suspek ditahan reman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1953, Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 55(B) Akta Imigresen dan Seksyen 39(B) Akta Imigresen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI