PUTRAJAYA – Kes sembuh daripada Covid-19 semalam mencatatkan sebanyak 29,450 kes, sekali gus melepasi jangkitan baharu dengan jumlah keseluruhan kumulatif kes sembuh sebanyak 3,596,453 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan baharu Covid-19 semalam mencatatkan 27,004 kes dengan 199 kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, mengikut pecahan, kategori satu sebanyak 11,163 kes (41.34 peratus), kategori dua sebanyak 15,642 kes (57.92 peratus), kategori tiga sebanyak 63 kes (0.23 peratus), kategori empat sebanyak 72 kes (0.27 peratus) dan kategori lima 64 kes (0.24 peratus).
“Daripada 199 kes kategori tiga, empat dan lima, 51 kes (25.63 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 82 kes (41.21 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 66 kes (33.17 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 95 kes (47.74 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas manakala 105 kes (52.76 peratus) mempunyai komorbid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, sebanyak 373 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala, 225 kes memerlukan bantuan pernafasan. -KOSMO! ONLINE