KUALA LANGAT – Cubaan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebuah pantai peranginan terkemuka di Banting di sini gagal selepas berjaya dikesan pihak berkuasa, hari ini.
Kesemua PATI termasuk lima wanita berusia 21 hingga 54 tahun itu dicekup sewaktu rondaan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) pukul 7 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, berdasarkan siasatan, mereka didapati baharu tiba pukul 4 pagi tadi selepas berlayar dari Tanjong Balai, Indonesia pukul 5 pagi semalam menaiki bot.
Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua warga asing itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil siasatan, mereka turut membayar antara RM1,500 hingga RM2,000 kepada sindiket untuk menyusup masuk secara haram ke negara ini.
“Kita mempercayai mereka bersembunyi di semak tersebut sebelum dibawa oleh ‘transporter’ sindiket,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, kesemua PATI itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE.