fbpx

24.3 juta penduduk Asia Tenggara bergelar miskin tegar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KADAR penduduk miskin tegar di Asia Tenggara meningkat sebanyak 4.7 juta pada 2021. - AFP

MANILA – Bank Pembangunan Asia (ADB) mendedahkan bahawa pandemik Covid-19 telah meningkatkan jumlah penduduk miskin tegar di rantau Asia Tenggara sebanyak 4.7 juta orang pada tahun 2021, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Kemiskinan tegar ditakrifkan sebagai individu yang hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$1.90 (RM7.95) sehari.

Bagi tahun lepas, seramai 24.3 juta atau 3.7 peratus daripada 650 juta penduduk di rantau ini terjejas dengan keadaan kemiskinan tegar. 

Sebelum pandemik, terdapat penurunan dalam jumlah individu yang dikategorikan sebagai miskin tegar dengan seramai 14.9 juta pada 2019. Ia berkurang berbanding 18 juta orang pada 2018 dan 21.2 juta bagi 2017.

“Pandemik telah menyebabkan pengangguran yang meluas, ketidaksamaan yang semakin teruk dan peningkatan tahap kemiskinan terutamanya dalam kalangan wanita, pekerja muda dan warga emas di Asia Tenggara,” kata Presiden ADB, Masatsugu Asakawa.

Justeru itu, Asakawa menekankan keperluan untuk menambah baik sistem kesihatan, menyelaraskan peraturan bagi meningkatkan daya saing perniagaan, pelaburan dalam infrastruktur pintar dan hijau serta menerima pakai teknologi untuk meningkatkan pertumbuhan.

Terdapat kurang 9.3 juta individu yang bekerja di Asia Tenggara pada 2021 apabila sekatan pandemik Covid-19 telah mengurangkan aktiviti ekonomi dan mengakibatkan berjuta-juta orang menganggur.

Unjuran pertumbuhan ekonomi bagi rantau ini untuk tahun lepas adalah tiga peratus, manakala bagi tahun ini, ia dijangka berkembang 5.1 peratus.

Bagaimanapun, ADB berkata, jika varian Omicron merebak lebih buruk sehingga menyebabkan tekanan kepada bekalan dan permintaan, prospek pertumbuhan itu berkemungkinan dikurangkan sebanyak 0.8 peratus.

Unjuran bagi tahun 2022 belum mengambil kira faktor peperangan antara Rusia dan Ukraine. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI