BANDAR BAHARU – Lebih 2,000 penduduk Kampung Permatang Kerat Telunjuk, di sini kecewa apabila masih dibelenggu masalah capaian internet lemah meskipun perkara itu sudah diajukan kepada pihak berkaitan.
Penduduk mendakwa belum ada sebarang tindakan mahupun kerja menambah baik capaian internet dilakukan walaupun dimaklumkan satu menara telekomunikasi akan dibina di situ.
Seorang penduduk, Nor Arzila Abd. Rashid, 36, berkata, berdasarkan penelitiannya, rangkaian internet masih teruk dan adakalanya tiada capaian internet langsung.
“Beberapa syarikat telekomunikasi ada menghubungi saya sebelum ini dan mereka ada buat tinjauan dan memaklumkan akan membuat penambahbaikan, namun malangnya tiada perubahan sehingga hari ini,” katanya di sini semalam.
Katanya, kerajaan negeri juga memaklumkan sebuah menara telekomunikasi akan dibina di kawasan itu pada Januari lalu, namun sehingga kini tiada sebarang kerja dijalankan.
Seorang lagi penduduk, Normarlia Omar, 39, yang menjalankan perniagaan gerai makan berkata, dia sukar untuk menjalankan perniagaan online akibat gangguan itu.
“Kadang-kadang pesanan yang dibuat pelanggan lambat masuk, pesan makanan menerusi aplikasi WhatsApp pada waktu tengah hari tetapi hanya sampai kepada saya pada waktu malam,” katanya.