KLANG – Ramadan bakal menjelma lebih bermakna kepada 120 anak yatim dan asnaf apabila menerima sumbangan keperluan asas.
Sumbangan berupa barang basah seperti ayam, ikan, daging dan barang kering lain dihulurkan Yayasan EZ Prihatin (YEZP).
Menurut Pengurus Besar YEZP, Muhammad Syariffuddin Supeni, ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dan mendapat akses kepada keperluan-keperluan asas secara konsisten.
“Kita telah menyantuni lima buah rumah kebajikan sekitar Klang dengan harapan sumbangan tersebut dapat menceriakan mereka pada Ramadan kali ini.
“Ini adalah tanggungjawab sosial bagi melebarkan aktiviti dalam membantu kumpulan masyarakat yang memerlukan,” katanya selepas program sumbangan YEZP di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah Bandar Baru Bukit Raja di sini.
Program sumbangan tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek.
Jelas Muhammad Syariffuddin, pihaknya turut melancarkan sebuah program dikenali Kita Kongsi Ramadan iaitu tajaan berbuka puasa dan sahur untuk anak-anak yatim.
“Sasaran kita pada tahun ini adalah membantu seramai mungkin anak-anak yatim, asnaf, ibu tunggal, B40 dan golongan yang memerlukan sempena Ramadan ini.
“Kita juga buka peluang kepada orang awam di luar sana untuk sama-sama berkongsi rezeki serta nikmat berbuka puasa dengan golongan itu” katanya.
Justeru, orang ramai yang ingin turut menyumbang boleh melayari sesawang kongsiramadan.com atau menghubungi 018-9717624 untuk maklumat lanjut. -KOSMO!ONLINE