TALLAHASSEE, FLORIDA – Seekor ular dari spesies yang jarang ditemui dilaporkan mati ketika cuba memakan seekor lipan gergasi berbisa di Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Daily Star semalam.
Seorang pelawat menemui ular itu ketika berjalan di Taman Negeri John Penny Camp Coral Reef di Key Largo, negeri Florida, demikian menurut Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC).
“Penemuan itu adalah yang pertama direkodkan untuk spesies ular Rim Rock,’’ kata pegawai hidupan liar sambil menambah bahawa spesies itu tidak pernah dilihat di sana sama sekali sejak 2015.
Mereka menyatakan bahawa punca kematian adalah disebabkan oleh keracunan. Menurut FWC, ular itu biasanya kebal terhadap racun lipan dan menganggap sesuatu yang tidak kena berlaku dalam situasi berkenan.
“Habitat ular itu adalah di kawasan bebatu. Ia biasanya hidup di bawah serpihan, batuan atau rongga di bawah batu kapur. Ia mampu membesar dengan purata saiz 17.8 hingga 22.8 sentimeter,’’ kata FWC.
Spesies ular yang biasanya pemalu itu cenderung bersembunyi tetapi ular tersebut dilihat makan di tempat terbuka dan berada di atas daun.
Lipan itu pula adalah spesies lipan gergasi atau Scolopendra alternans. Menurut pegawai-pegawai hidupan liar, lipan itu boleh membesar sebesar ular Crowned Snake. – Agensi