fbpx

Tiada tarikh PRU-15 dibincang – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tiga kiri) ketika hadir beramah mesra bersama ahli Kelab Naib Ketua Bahagian Malaysia pada sesi Hi-Tea pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. /FOTO AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Hanya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sahaja yang mempunyai kuasa bagi menetapkan tarikh bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tarikh PRU-15 juga masih belum dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ketika ini.

“Jangan ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kena tunggu dulu, ini semua perlu dibincangkan bersama Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau kita letak tarikh sendiri nanti, Yang di-Pertuan Agong kata kita ambil alih kuasa Baginda. PRU-15 juga masih belum dibincangkan dalam Mesyuarat MKT UMNO,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Menurutnya, tarikh pembubaran Parlimen dan PRU-15 akan dibincangkan di peringkat parti terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Jelas beliau, perbincangan di peringkat parti juga perlu diadakan disusuli perbincangan lanjut.

Isu pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan menjadi antara tumpuan dalam Perhimpunan Agung Umno 2021 bermula semalam.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Sayap-Sayap UMNO semalam juga turut menegaskan kini adalah masa yang sesuai untuk PRU-15 diadakan.

Ia susulan kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk membentuk kerajaan di Melaka dan Johor dengan majoriti besar selain kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI