fbpx

Tawaran ‘Datuk Seri’: Wanita didakwa perdaya ahli perniagaan lebih RM94,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Li Shi (tengah) dan Kah Fook ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang ahli perniagaan lelaki lebih RM94,000 berhubung tawaran gelaran ‘Datuk Seri’.

Bagaimanapun tertuduh Ong Li Shi, 39, mengaku  tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, Li Shi didakwa memperdaya seorang ahli perniagaan lelaki berusia 33 tahun dengan mengarahkan lelaki itu untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM94,850.

Wang itu diserahkan secara berperingkat ke dalam akaun Public Bank milik tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkan sekiranya tidak diperdayakan sedangkan pada waktu itu tertuduh tahu bahawa perbuatannya semata-mata rekaan dan tipu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang di sini pada 9 Disember 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim rakan Li Shi, Chin Kah Fook, 33, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang RM75,150 kepunyaan lelaki sama yang mana tertuduh mengetahui wang tersebut bukan miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat sama pada 14 Januari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal dan Amalina Johar.

Mahkamah kemudian membenarkan Li Shi dan Kah Fook masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM1,500 selain menetapkan 26 April serta 1 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Mac lalu, media sebelum ini, melaporkan seorang lelaki mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM294,850 selepas ditipu sindiket tawaran Darjah Kebesaran membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata mangsa yang berusia 33 tahun, sebelum itu ditawarkan darjah berkenaan pada 1 Disember tahun lepas oleh seorang suspek lelaki tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata suspek menetapkan syarat bahawa mangsa perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak istana bagi mendapatkan darjah kebesaran tersebut.

Menurut polis, mangsa telah membuat bayaran tunai RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek dan selepas membuat bayaran, mangsa diberikan dokumen Watikah Penganugerahan Darjah Kebesaran, dua keping kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo/emblem kereta Darjah Kebesaran milik sebuah negeri.

Bagaimanapun rakan mangsa yang juga seorang Datuk Seri memaklumkan bahawa pelantikan berkenaan adalah meragukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI