JIKA di negara ini, kita ada beberapa nama kumpulan wanita yang hangat dan popular seperti DeFam, Dolla dan Cassia yang merancakkan industri muzik dengan genre pilihan dan konsep tersendiri.
Akan datang, ada beberapa lagi penyanyi berkumpulan wanita khabarnya akan menemui peminat dengan menjanjikan persaingan sengit untuk menawan perhatian khalayak.
Sama kisahnya dengan negara jiran Indonesia yang menonjolkan kemunculan bakat baharu iaitu sekumpulan penyanyi wanita muda dikenali sebagai Spark Girls.
Kumpulan asal Bandung itu dibarisi tujuh perawan cantik manis bernama Rou, Dewi, Putsen, Reva, Monick, Nana dan Khayla.
Kehadiran mereka dihangatkan menerusi sebuah single perdana berjudul Bloody Hell. Pelancaran Bloody Hell dijalankan secara maya dari Bandung.
Serampang dua mata, kehadiran Spark Girls bukan hanya menyasarkan tempat dalam industri seni di tanah air sendiri, kumpulan itu bahkan mahu meluaskan karier agar dikenali di Malaysia.
Ujar Rou selaku ketua kumpulan, mereka yakin aliran muzik, konsep dan imej K-pop yang dibawa Spark Girls dapat diterima dengan baik bukan hanya di Indonesia tetapi juga di Malaysia.
“Kami sangat yakin Spark Girls akan sukses dan kekal selama-lamanya.
“Kerana kami selalu berusaha memberi karya terbaik, sekali gus dicintai semua penggemar muzik,” ujarnya.
Spark Girls membariskan aura dan energi tujuh pucuk muda yang memiliki personaliti tersendiri.
Imej seksi
Mengangkat konsep sebagai penyanyi berkumpulan, Spark Girls turut meletakkan standard atau piawaian dari segi koreografi tarian bagi membentuk identiti khas mereka sebagai sebuah kumpulan yang unik.
Mengambil inspirasi artis idola K-pop, kumpulan itu juga tidak dapat lari daripada menonjolkan imej yang seksi seiring dengan konsep dan muzik diperjuangkan.
Ditebak tentang pakaian seksi yang menjadi imej di mata umum, kumpulan yang dibentuk pada 7 November tahun lalu itu ada jawapan tersendiri untuk dijadikan pegangan.
“Imej yang kami paparkan tidaklah begitu seksi. Meskipun pakaian terbuka, tapi kami masih menampilkan konsep yang sopan.
“Pokoknya di sini, jangan pandang pakaian atau imej yang kami pakai.
“Sebaliknya, lihatlah apa mesej yang kami cuba sampaikan dalam lagu,” jawab Rou.
Wanita, kekuatan
Berbicara tentang kekuatan lagu Bloody Love, kumpulan itu mengangkat keresahan para wanita yang semakin dangkal menangani definisi cinta zaman sekarang.
Di sebalik kelembutan dan sisi feminin seseorang wanita, ada jiwa yang tangguh, kuat dan penuh harga diri.
“Sekarang sudah tiba masanya hati wanita tidak lagi dibuai dengan harta, takhta apalagi rayuan ‘gombal’ (kosong) kerana semua itu sudah mampu wanita gapai dengan tangan sendiri.
“Maka melalui lagu ini, kami ingin mengingatkan kembali kepada para lelaki, tidaklah cukup hanya dengan pujuk rayu, harta ataupun takhta untuk memenangkan hati wanita tapi dengan cara yang lebih baik,” seorang lagi anggota Spark Girls.
Kumpulan yang dibentuk oleh pengurusan muzik Spark Entertainment itu lantas meletakkan harapan tinggi agar kemunculan mereka dalam industri seni di dua buah negara diterima seadanya.
“Seiring visi kami, membangunkan kepercayaan memang sulit tetapi kami yakin bahawa kepercayaan akan timbul ketika kita berkata jujur.
“Malah, kami mengejar misi untuk mencipta buih-buih cinta dalam hati peminat muzik agar kami dapat terus berkarya dan menghasilkan kerja yang jauh lebih bagus lagi,” tambah Rou.
Bloody Love yang dicipta oleh Irfan Sutanto dilancarkan serentak di Indonesia dan Malaysia pada tanggal 10 Mac lalu.