PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) telah melebarkan keluasan hektar ladang padi kepada 12 lokasi di seluruh negara dengan penglibatan hampir 465 pesawah berdaftar.
SMART SBB merupakan satu program kerjasama di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), syarikat-syarikat peneraju seperti BERNAS, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan lain-lain lagi bersama pesawah.
Ketua Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS, Norhisham Abdul Rahman berkata, penglibatan pesawah merupakan elemen terpenting program tersebut.
“Sehingga kini, BERNAS telah berjaya membentuk pakatan kerjasama yang baik dengan hampir 465 orang pesawah berdaftar. Apa yang pasti, program ini tidak mungkin berjaya tanpa komitmen yang tinggi daripada para pesawah.
“Usaha kolektif secara berterusan ini amat penting dalam mendedahkan para pesawah tempatan dari segi pembangunan dan pengamalan teknologi pengurusan tanaman padi yang bersesuaian dengan perkembangan semasa, sekali gus mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Norhisham menjelaskan, Program SMART SBB BERNAS memfokuskan ke arah amalan pertanian lestari dan berteknologi tinggi.
Tambahnya, BERNAS yang merupakan antara perintis amalan pertanian lestari dalam sektor penanaman padi, turut bekerjasama bersama agensi-agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi tempatan.
“Kerjasama strategik ini merupakan satu platform yang mana mereka akan menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran di dalam bidang yang berkaitan.
“Pelbagai inisiatif sedang dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat seperti amalan kejuruteraan ekologi dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM),” ujarnya.
Tambah beliau, turut dititikberatkan adalah penggunaan jentera moden yang berupaya memelihara kelestarian tanah, penggunaan teknologi dron pelbagai aplikasi, pengamalan jadual kerja ladang yang lebih sistematik dan pelbagai amalan pertanian baik yang lain.
Katanya, pihak BERNAS percaya bahawa ia merupakan suatu perancangan yang tepat ke arah pembangunan sektor padi tempatan, sekali gus memupuk kesedaran akan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, mewujudkan keseimbangan ekologi di sawah, melindungi kesihatan pesawah dan memperbaiki pengetahuan teknikal pesawah termasuk kawalan penyakit di sawah.