KUALA LUMPUR – Seluruh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat bermula Mac ini.
Antara yang terlibat adalah PPV Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), PPV Axiata Bukit Jalil dan PPV Sokha Gakai, Klang.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, penutupan offsite PPV itu dilaksanakan apabila kadar pemberian dos penggalak bagi penduduk dewasa mencapai 64 peratus.
Menurut KKM, sehingga 16 Mac, sebanyak 66.2 peratus daripada penduduk dewasa yang layak telah menerima dos penggalak.
Sehubungan itu, individu yang masih belum menerima vaksinasi lengkap boleh mendapatkan sama ada dos pertama atau kedua melalui tempahan slot mengikut PPV yang dipilih.
“Orang ramai boleh membuat tempahan melalui pautan yang akan dihantar bersama janji temu ke aplikasi MySejahtera anda.
“Senarai PPV pengamal perubatan swasta berhampiran yang menawarkan vaksinasi kanak-kanak dan dos penggalak juga boleh dilihat di laman web ProtectHealth,” katanya. – KOSMO! ONLINE