SHAH ALAM – Kegiatan menyeludup ganja dari Laos sebelum dibungkus dan disimpan untuk edaran dalam negara terbongkar menerusi penahanan dua lelaki di sekitar Kuala Langat, kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 31 dan 47 tahun itu ditahan di dalam sebuah kenderaan di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 12 tengah hari ketika menerima dadah berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan siasatan mendapati modus operandi mereka adalah menggunakan pendekatan seperti penyeludupan beras.
Katanya, mereka menggunakan jalan darat di sebuah negeri di utara Semenanjung negara ini.
“Kalau ikut trendnya, pada bulan Mac dan Oktober secara kebiasannya adalah musim menuai (ganja) di Laos.
“Bagaimanapun, sekarang di negara itu didapati sepanjang tahun aktiviti menuai kerana ada sistem pengairan yang sempurna dan sebab itu kita lihat banyak rampasan yang JSJN buat di sempadan utara Semenanjung Malaysia melibatkan dadah jenis ganja,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Menurut beliau, susulan penangkapan itu kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Klang yang dijadikan sebagai stor simpanan ganja.
Difahamkan unit rumah adalah jenis pangsapuri dan berada di aras bawah.
“Hasilnya, kita berjaya merampas 468.8 kilogram (kg) ganja dan 10 kg syabu dianggarkan bernilai RM1.53juta.
“Ganja dirampas terdiri daripada tiga gred iaitu masing-masing Gred 2 berharga RM2, 800 sekilogram, Gred 3 (RM2,500) dan Gred 4 (RM2,400),” ujarnya.
Jelasnya, sekiranya terlepas dalam pasaran boleh digunakan oleh seramai 987,341 orang penagih dadah.
“Kita turut menyita pelbagai aset sindiket termasuk kenderaan dan barang kemas bernilai RM88,496.
“Hasil siasatan turut mendapati sindiket baharu aktif bulan ini dan tiada hubungan keluarga antara kedua-dua suspek. Mereka juga positif Tetra Hydrocannibol dengan salah seorang daripadanya didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ayob menegaskan, siasatan lanjut masih dilakukan bagi melihat kedua-dua suspek ini mempunyai hubungan dengan sindiket lain atau sama ada masih ada lagi saki baki anggota sindiket yang bebas.
“Kedua-dua suspek kini direman selama 7 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952” katanya.-KOSMO!ONLINE