KUANTAN – Roihan Basaroy Academy bakal menjadi platform latihan, bimbingan perniagaan yang lengkap kepada usahawan untuk memasarkan produk penjagaan kesihatan dan kecantikan berjenama Forever Living secara online serta offline.
Pengasas akademi, Siti Roihan Hashim berkata, melalui pembelajaran di pusat latihan tersebut, para ejen akan dibantu untuk memahami pelan pemasaran dalam mempromosikan produk, cara bercakap dengan prospek dan menjadi pemimpin keusahawanan yang berjaya.
“Semua kemudahan di akademi ini boleh digunakan secara percuma oleh seluruh ejen di Malaysia, Sabah dan Sarawak termasuk menikmati makanan ringan dan minuman yang disediakan secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena sesi pengenalan akademi tersebut di sini baru-baru ini.
Siti Roihan memberitahu, melalui pembukaan akademi tersebut, pihaknya mengunjurkan untuk membantu lebih daripada 10,000 usahawan wanita khususnya dalam kalangan suri rumah untuk menambah pendapatan bulanan.
Buat masa ini, syarikat memiliki 15 tenaga pengajar untuk membimbing ejen-ejen bagi membantu mereka menjadi usahawan yang berjaya selain kental dengan semangat juang untuk terus berniaga meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran. -KOSMO! ONLINE