fbpx

Puteri UMNO Bera gesa bahasa Melayu diperkasa dalam pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pendirian Perdana Menteri untuk memperkasakan bahasa Melayu harus kekal sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara perlu diberi sokongan sepenuhnya.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Bera, Salmiah Ab. Rahman berkata, perjuangan UMNO dalam memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya terkait rapat dengan sejarah peradaban bangsa yang pernah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Malah katanya, pakar-pakar sejarah bersetuju bahawa bahasa Melayu merupakan lingua franca yang digunakan dengan meluas lebih 300 juta penduduk rantau ini.

“Tidak hanya terbatas dalam aktiviti dakwah dan pendidikan asas, bahasa Melayu terbukti mampu menjadi medium pemikiran intelektual tinggi yang berperanan membina akal dan jiwa selain membentuk peradaban.

“Oleh yang demikian, tidak perlu kita bersikap apologetik atau malu untuk menggunakan bahasa Melayu diperingkat diplomasi, hubungan dua hala atau perdagangan,” jelasnya ketika membentangkan usul pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Tambahnya, seharusnya kita perlu merasa bangga apabila Perdana Menteri, yang merupakan Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Bera, menggunakan bahasa kebangsaan ketika lawatan rasmi ke negara-negara Asean baru-baru ini.

“Jika negara seperti Indonesia boleh menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, maka kita juga boleh melakukan sedemikian tanpa segan silu.

“Apa yang dilakukan Datuk Seri Ismail Sabri ini bukan sahaja mengisi tuntutan Artikel 152 Perlembagaan berkaitan dasar bahasa kebangsaan, malahan mengangkat semula Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Salmiah turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memastikan semua pelajar asing diwajibkan belajar bahasa Melayu.

“Adalah sangat menyedihkan jika puluhan ribu pelajar luar negara yang datang ke negara ini langsung tidak menguasai bahasa Melayu sekurangkurangnya sebagai bahasa kedua atau ketiga mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI