IPOH – Polis sedang mengesan seorang wanita setelah gagal hadir ke mahkamah atas pertuduhan membuat kenyataan yang mengakibatkan kegentaran awam pada 28 September tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu tersebut, Liyana Razali dengan alamat terakhir di Taman Seri Andalas, Klang, Selangor.
Menurut beliau, wanita itu sebelum ini disiasat kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa dua pelajar meninggal dunia akibat suntikan vaksin Covid-19.
“Setelah siasatan lengkap dijalankan didapati kenyataan yang dikeluarkan itu tidak benar.
“Polis telah merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya di Putrajaya dan arahan dikeluarkan supaya dia dituduh dibawah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan,” ujarnya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, pada 21 Januari lalu wanita itu gagal hadir ke mahkamah sepertimana notis pemberitahuan yang diserahkan kepadanya.
Mahkamah juga telah memberi tarikh baharu pada 10 Februari lalu tetapi penama masih gagal hadir.
Jelas Mior Faridalathrash, susulan itu satu waran tangkap telah dikeluarkan oleh mahkamah.
“Usaha polis untuk mengesan dan menghubungi wanita itu juga gagal.
“Justeru, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam untuk membantu mengesannya bagi tindakan sellanjut,” ujarnya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd. Zulkefly Mohd. Mukhtar ditalian 012-4336 999. – KOSMO ONLINE