KUALA TERENGGANU – Tingkah laku seorang wanita dikenali sebagai ‘Kak Long 7E’ yang didakwa mempersenda golongan orang kelainan upaya (OKU) terus mendapat kecaman.
Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (Pokuat) tampil membuat laporan polis terhadap wanita terbabit hari ini.
Presidennya Pokuat, Fakhruddin Zakaria, berkata, persatuannya yang mewakili 600 l OKU di Terengganu mahu tindakan tegas diambil terhadap ‘Kak Long 7E’ berkenaan.
“Tindakan wanita itu yang semata-mata mahu meningkatkan popularitinya amat tidak sensitif, mengguris hati dan menjatuhkan maruah golongan OKU.
“Kami mahu satu akta segera dibuat bagi mengenakan tindakan kepada sesiapa yang dapat dibuktikan menghina OKU sebagai pengajaran,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu beliau membuat laporan polis berhubung tindak tanduk dan mimik muka ‘Kak Long 7E’ yang didakwa mempersenda golongan OKU di IPD Kuala Terengganu.
Fakhruddin menegaskan walaupun wanita itu telah melakukan permohonan maaf namun ia masih tidak mencukupi memandangkan dia sering melakukan kesalahan berulang kali seolah-olah tidak mengambil iktibar.
Seorang jurutera mekanikal di Subang Jaya, Selangor turut membuat laporan polis terhadap ‘Kak Long 7E’ semalam. – KOSMO! ONLINE