fbpx

PGA rampas 3.65 tan tembakau seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mat Shukor (kanan) menunjukkan bungkusan tembakau yang dirampas di Jeli kepada pemberita di Markas Taktikal Lubok Stol, Rantau Panjang hari ini. - Foto oleh YATIMIN ABDULLAH

RANTAU PANJANG – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 3.65 tan tembakau yang diseludup dari negara jiran selepas menahan sebuah lori di hadapan sebuah sekolah di Gemang dekat Jeli, Isnin lalu.

Dalam serbuan pukul 3.30 pagi itu, PGA turut menahan dua lelaki yang dipercayai berperanan sebagai pemandu dan kelindan lori berkenaan bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan berjumlah RM627,500.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, anggota PGA melihat sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan rondaan rutin.

Menurutnya, anggota PGA terus menahan lori tersebut sebelum membuat pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 365 bungkusan yang memgandungi tembakau. Setiap satu bungkusan mengandungi sebanyak 10 kilogram tembakau.

“Siasatan awal mendapati, tembakau yang diseludup dari negara jiran akan dibawa ke Perak untuk dijual di negeri berkenaan,”katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol di sini hari ini.

Mat Shukor memberitahu, hasil soal siasat terhadap kedua-dua lelaki berusia 20-an itu mendapati mereka hanya mengambil upah membawa barangan tersebut sahaja.

Katanya, barangan rampasan di serahkan kepada pihak Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 52 (1) Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 629). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI