LONDON – Seorang penghias dalaman di Britain mendedahkan satu kejadian ketika dia terpaksa mencabut pelekat-pelekat dinding yang sengaja ditampal oleh bekas penyewa, lapor portal berita MailOnline semalam.
Tindakan tersebut dilakukan sebagai cara membalas dendam selepas dihalau oleh pemilik rumah.
Menurut Simon Moore, dia dipanggil untuk membersihkan kediaman paling teruk yang pernah ditemui di sebuah pangsapuri yang memiliki dua bilik tidur dan satu bilik air di bandar Weston.
Pemilik rumah berkenaan sebelum itu menghadapi masalah untuk mengusir penyewa selepas dia berhenti membayar sewa selama berbulan-bulan.
Sebelum mengosongkan kediaman itu, penyewa berkenaan bertindak menampal pelekat-pelekat pada setiap dinding bilik, tingkap dan siling untuk membalas dendam.
Tindakan itu dikatakan bertujuan untuk menimbulkan kerugian maksimum kepada pemilik rumah tanpa merosakkan mana-mana kelengkapan rumah atau lantai. Ia dilakukan supaya dapat mengelak daripada melakukan kerosakan jenayah dan kemungkinan untuk didakwa.
“Saya terkejut setelah melihatnya. Mereka menghantar gambar terlebih dahulu supaya saya tahu keadaan rumah itu tetapi ia masih mengejutkan.
“Ia adalah pekerjaan yang paling teruk pernah kami terima. Biasanya hanya kesan kotor ditemui di dinding, tetapi ini adalah lebih teruk,’’ kata Moore.
Pemilik syarikat Mendip Decorators yang berpangkalan di Bristol itu berkata, pekerjaan tersebut memerlukan dua pekerjanya untuk membersihkan rumah itu selama lima hari dan menelan belanja sebanyak £2,000 (RM11,042). – Agensi