KUALA KRAU – Penduduk Kampung Seri Tanjung di sini mengadakan demonstrasi aman bagi membantah kawasan rizab padang kerbau seluas 40.13 hektar di kampung itu yang diserahkan kepada pemaju luar untuk projek tanaman kelapa.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Baderul Hisham Zainuddin berkata, kawasan tersebut telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sejak 2018 untuk Rancangan Tanah Kelompok (RTK) generasi kedua bagi mengusahakan ternakan integrasi lembu, kerbau dan aktiviti tanaman kontan.
Beliau memberitahu pada masa ini kawasan tersebut telah diusahakan penduduk kira-kira 120 orang penduduk dengan ternakan lembu dan kerbau sejak lebih sepuluh tahun lalu yang menjadi sumber pendapatan mereka.
“Kini timbul persoalan kenapa rizab padang kerbau kampung ini diluluskan kepada pemaju luar yang difahamkan hanya memohon kepada pihak berkuasa tanah tahun lalu sedangkan permohonan penduduk diabaikan.
“Kami terkilan dengan layanan berbeza ke atas penduduk sedangkan kampung berhampiran telah diluluskan kepada penduduk di bawah projek Rancangan Tanah Kelompok (RTK),” katanya selepas mengadakan bantahan aman di kampung itu hari ini.
Menurut Baderul Hisham, surat bantahan telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri, wakil rakyat setempat dan Pegawai Daerah Temerloh serta juga pemaju swasta terbabit. – KOSMO! ONLINE