fbpx

PDRM pantau iklan palsu KWSP elak pencarum ditipu scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (tengah) ketika Majlis menandatangani MOU antara KOP Mantap Berhad bersama rakan-rakan strategik di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan pemantauan berhubung penipuan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, PDRM menasihati orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan iklan yang dikeluarkan di media sosial.

“Kita mengambil maklum mengenai perkara ini dan sentiasa menasihati orang ramai termasuk melakukan pemantauan bagi memastikan masyarakat umum tidak tertipu.

“Hampir setiap hari juga PDRM mengeluarkan kenyataan mengenai penipuan scam ini, namun masih ada segelintir individu yang terpedaya dengan iklan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara KOP Mantap Berhad bersama rakan-rakan strategik di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, masyarakat umum dinasihatkan untuk memeriksa terlebih dahulu iklan yang tular di media sosial bagi memastikan tidak menjadi mangsa penipuan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu sidang akhbar khas mengumumkan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP.

Pengeluaran khas sehingga RM10,000 terbabit dibuka kepada ahli yang berusia 55 tahun ke bawah bermula pada 1 April sehingga 30 April ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan negeri Kedah untuk membenarkan eksport ketum ke luar negara, beliau berkata, kenyataan berkenaan mungkin pendapat peribadi Menteri Besar terbabit.

“Ketum ini merupakan perkara dibawah akta racun, jadi apabila perkara-perkara yang dibawah perundangan, ia mungkin pendapat Menteri Besar itu sendiri.

“Kalau itu (ketum) satu perkara yang bagus mungkin ia perlu dibawa kepada kerajaan pusat untuk diluluskan dan dikeluarkan daripada akta racun,” jelasnya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, Kerajaan Negeri Kedah mencadangkan supaya ketum dibenarkan untuk dieksport ke luar negara terutama Thailand bagi membolehkan negara memperoleh manfaat daripada langkah tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI