fbpx

Nikmati cuti tanpa gangguan di Mersing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG boleh berbasikal mengelilingi pulau sambil menikmati keindahan alam.

MERSING, Johor yang terletak kira-kira 136 kilometer dari Johor Bahru sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan popular, khususnya bagi individu yang gemar menikmati percutian di pulau.

Pulau-pulau peranginan di Mersing bukan sahaja memiliki pemandangan dan batu karang yang cantik, malah turut mempunyai tarikan lain seperti aktiviti snorkeling dan selam skuba.

Salah satu resort di Mersing yang cukup popular sama ada bagi pelancong dari dalam dan luar negara adalah Bayu Lestari Island Resort yang terletak di Pulau Besar.

Menurut Pengurusnya, Ben Oswald, 30, tarikan utama resort tersebut adalah lokasinya yang terletak jauh dari resort-resort lain di pulau berkenaan.

“Pulau Besar mempunyai empat buah resort dan Bayu Lestari Island Resort merupakan salah satu daripadanya.

“Lokasinya yang terletak di hujung pulau dan jauh dari resort-resort lain menjadikannya destinasi pelancongan terbaik, khususnya bagi mereka yang sukakan privasi,” ujarnya ketika dihubungi Horizon.

Bertepatan dengan namanya, percutian di situ cukup damai dengan tiupan bayu laut yang menenangkan.


PASIR putih dan air laut yang jernih merupakan tarikan di Pulau Besar, Mersing.

Lokasinya yang terpencil juga memberikan lebih ruang kepada pengunjung untuk benar-benar menikmati percutian yang merehatkan minda.

Resort yang dibuka pada 2018 itu mempunyai jeti dan pantainya sendiri, eksklusif buat pengunjung yang menginap di situ.

Tambah Oswald, selain aktiviti island hopping dan snorkeling yang merupakan acara aktiviti wajib bagi percutian di pulau, pengunjung yang sukakan keindahan alam boleh mencuba menelusuri hutan di situ.

“Pengunjung yang sukakan aktiviti alam boleh menelusuri hutan bagi melihat flora dan fauna yang ada di kawasan ini,” ujarnya.

Bagi pengunjung yang mahu berbasikal penuh santai di sekitar pulau pula, mereka boleh mendapatkan khidmat sewa basikal yang disediakan.

PEMANDANGAN indah sesuai buat pelancong yang mahu merehatkan minda.

Setiap tahun, Bayu Lestari Island Resort cuba menambah tarikan baharu untuk dinikmati pelancong dan bagi tahun ini, ia akan mewujudkan pusat selam skuba.

“Pulau di kejiranan Pulau Besar seperti Pulau Rawa sudah pun mempunyai pusat selam skubanya.

“Justeru, pada tahun ini, kami akan menubuhkan pusat selam skuba sendiri sekitar Mei depan,” ujar Oswald lagi.

Kongsinya, sama seperti resort-resort lain di seluruh negara, Bayu Lestari Island turut ‘suram’ ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini susulan penularan pandemik Covid-19.

“Kami terpaksa menutup resort ini kepada pengunjung sepanjang tempoh PKP dan kembali membukanya pada Oktober tahun lalu,” katanya yang berharap lebih ramai pengunjung akan bercuti di Mersing sebaik sahaja negara memasuki fasa endemik.

ANTARA vila penginapan yang ditawarkan di Bayu Lestari Island Resort.

Resort itu mempunyai empat jenis penginapan berbeza iaitu Excecutive Villa, Deluxe A Frame, Standard Suite dan juga Executive Bungalow.

Harga penginapan di Bayu Lestari Island Resort bermula daripada RM400.

Tempahan boleh dibuat menerusi laman web www.bayulestari.com atau menghubungi talian 019-728 4450.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI