SHAH ALAM – Sebanyak 44 majikan dalam sektor pembuatan menutup operasi mereka di Selangor susulan pandemik Covid-19 bermula tahun 2020 hingga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri, Datuk Teng Chang Kim berkata, penutupan operasi itu telah menyebabkan pemberhentian kerja seramai 835 pekerja tempatan dan 119 pekerja asing.
Katanya, bagaimanapun ia tidak memberikan kesan kewangan secara langsung kepada ekonomi negeri.
“Penutupan operasi syarikat di Selangor tidak memberikan kesan kewangan secara langsung kepada ekonomi negeri kerana syarikat hanya membayar cukai tanah dan cukai taksiran pada kadar yang kecil kepada pihak kerajaan negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mazwan Johar ( PH- Sungai Ramal) mengenai kesan ekonomi akibat Covid-19 termasuk bilangan pelabur luar dan dalam negeri yang telah menutup operasi sejak bermula Covid-19.
Mengulas lanjut, Chang Khim memberitahu, kerajaan negeri telah mengambil tindakan melaksanakan program Karnival Kerjaya-Jelajah Selangor Bekerja tahun lalu bagi membantu rakyat negeri itu yang diberhentikan kerja akibat kesan penularan pandemik.
“Pada tahun lalu, sebanyak enam siri Karnival Kerjaya-Selangor Bekerja dilaksanakan di lokasi berbeza.
“Penganjuran program ini merupakan platform yang menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pekerjaan, sekali gus mengatasi kadar pengangguran di Selangor,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE