KLANG – Sebuah video tular memaparkan imej seorang lelaki menunjukkan isyarat lucah dan memecahkan cermin kereta merupakan video lama.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, video berdurasi 56 saat itu didapati tular pukul 9.15 pagi tadi selepas dimuat naik pemilik akaun Twitter, Nan Manjoi.
“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku di hadapan Balai Polis Pandamaran di sini pada tahun 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan kes yang berlaku pukul 3.30 petang pada 31 Ogos 2018 mendapati suspek memarahi, memaki hamun serta menunjukkan isyarat lucah ke arah seorang wanita tempatan selepas mennuduh mangsa melanggar motosikalnya.
Ujar beliau, mangsa yang berasa takut terus menghala ke Balai Polis Pandamaran dan diekori oleh suspek.
“Suspek masih tidak berpuas hati lalu memaki serta menunjukkan isyarat lucah terhadap wanita tersebut termasuk membaling sebuah kon dan seketul batu ke arah cermin kereta mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.
Jelasnya, suspek berusia 23 tahun itu kemudiannya ditahan pukul 8 malam pada 15 Ogos 2018 di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.
Katanya, kes tersebut telah dituduh di Mahkamah Klang pada 20 Ogos 2018 dengan suspek dikenakan hukuman penjara selepas gagal membayar denda berjumlah RM5,000. -KOSMO!ONLINE