fbpx

Kampong Pisang agak ‘tepu’, perlu pembaharuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASIH bercakap tentang kritik sosial, terutama soal keghairahan orang politik meraih sokongan, Kampung Pisang ‘versi’ Amen Khalid berada pada tahap biasa-biasa.

SEBAGAI antara pemuja karya-karya francais Kampong Pisang yang menjadi signatur sutradara hebat, Allahyarham Mamat Khalid, filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali disambut baik biarpun jasad pengarah unggul itu sudah bersemadi di alam baqa.

Legasi ikonik figura itu diteruskan oleh anaknya, Amen Khalid yang bertindak sebagai pengarah filem kali ini dan hasilnya memang tidak boleh dibandingkan atau ditukar ganti dengan ‘kerja teliti’ Mamat.

Berdurasi sekitar 90 minit, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali boleh disifatkan sebagai sebuah karya yang sederhana kualitinya, namun sepertinya sudah terlalu ‘senak’ dengan permainan karakter yang barangkali, sudah tiba waktunya untuk disuntik elemen atau formula baharu.

Kita semua sedia maklum bahawa galaksi atau universe Kampong Pisang kaya dengan dengan karakter ‘asal’ seperti Pak Din, Barkoba, Pak Jabit, Pak Karim dan Cik Purnama yang mempunyai tempat istimewa di hati peminat.

Pengenalan karakter baharu

Sehubungan itu, dengan pengenalan karakter baharu seperti Gerhana dan Cik Mek sebenarnya dialu-alukan, namun untuk filem kali ini rasa seperti ada yang tidak kena.

Kekuatan dan kehebatan Mamat adalah menyuntik elemen lelucon dalam kritikan sosial. Itu adalah satu perihal yang sangat istimewa dan tidak mungkin berjaya ditiru pengarah lain.

Untuk filem kali ini, rasa sedikit janggal dengan pendekatan yang digunakan. Bahagian pertama atau awal filem rasa macam ada sesuatu yang kurang atau penulis sifatkan sebagai ‘cringey’.

Entah mengapa, terasa semacam tersasar arah. Permainan karakter Gerhana yang dijayakan Azman Mantra kurang ‘umph’, tinggal lagi seperti longlai dan samar-samar.

Begitu juga energi dicernakan watak bernuansakan imej puteri makyung yang pertama kali diperkenalkan dalam filem kali ini.

Rasa merekalah tunggak dan ‘misteri’ utama, namun entah di mana silapnya, perihal tersebut seperti terkandung elemen kekemasan, mungkin kurang diberi perhatian.

Legasi ‘bersyarat’

Buat penulis secara peribadi, bukan untuk melupakan kualiti yang ditinggalkan Mamat, namun sudah tiba waktunya Kampong Pisang disuntik pembaharuan dari segi pengarahan, permainan karakter, mood dan aspek signifikan lain agar terus berkembang, sekali gus memberi inspirasi kepada dunia perfileman tanah air.

Baharu bukan bermaksud 100 melupakan atau melepaskan legasi tetapi mencari rentak dan identiti bersifat timeless seperti apa yang telah dibina figura hebat berkenaan.

Sebenarnya, penulis antara peminat yang teringin melihat pembaharuan dalam kerja Amen, mungkin menjadikan Kampong Pisang lebih serius.

Serius di sini mencakupi penceritaan, permainan karakter, seram dan perihal berkaitan. Pada masa sama, masih menjunjung tinggi signatur atau identiti Mamat Khalid.

Dari segi teknik janaan komputer (CGI) untuk filem kali ini, visualnya masih banyak boleh diperbaiki terutama untuk terjemahan visual karakter membabitkan watak Cik Mek.

Secara keseluruhan, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali sebuah filem yang bersifat sederhana ‘magisnya’. Bukanlah yang terbaik untuk francais Kampong Pisang dan ternyata, mempunyai identiti yang jauh kalau ingin disamakan dengan kerja hebat Mamat sebelum.

Amen Khalid masih baharu, dia membwa harapan agar legasi bapanya terus mengharum. Zombie Kampong Pisang dan Hantu Kak Limah semestinya akan terus diingati sampai bila-bila dan kalau ingin mencapai piawaian sedemikian, anjakan perlu dilakukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI