KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terpaksa menahan sakit hampir dua jam sebelum berjaya diselamatkan selepas kakinya tersepit di dalam mangkuk tandas di rumahnya sekitar Jalan Jejaka, Taman Maluri di sini malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, mangsa dipercayai telah tergelincir sebelum kaki kirinya tersepit di dalam mangkuk tandas.
“Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.41 malam sebelum sepasukan 16 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dan Hang Tuah tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
“Kaki kiri mangsa didapati telah tersepit di dalam mangkuk tandas dipercayai akibat tergelincir,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kerja-kerja menyelamat mangsa perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan keselamatan kanak-kanak perempuan tersebut.
“Anggota bertugas mengambil masa kira-kira dua jam untuk memecahkan paip dengan menggunakan peralatan khas. Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE