KUALA LUMPUR – Satu kajian khusus bagi menangani isu komuniti luar bandar Felda sebagai penyelesaian jangka masa panjang dijangka bermula Jun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian ke arah mentranformasikan kawasan tanah rancangan itu menjadi komuniti yang progresif dan moden membabitkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkaitan.
“Kajian ini akan membabitkan semua warga Felda termasuk NGO seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) dan akan bermula tiga bulan lagi.
“Kajian ini juga akan menjadi panduan ke arah kelestarian Felda yang akan meningkatkan nilai komersial kawasan Felda sebagai kawasan yang memberikan peluang aktiviti ekonomi dan pekerjaan serta membentuk generasi baharu Felda yang mampu berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, jelas Mustapa, program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bakal bermula bulan depan akan menggunakan pendekatan secara menyeluruh.
Katanya, ‘whole-of-nation approach’ (pendekatan keseluruhan negara) itu adalah pendekatan dari bawah ke atas serta penyelesaian kemiskinan secara bersasar di peringkat pusat, negeri dan daerah.
“Ia melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk penyertaan pelbagai kementerian dan agensi, pentadbiran kerajaan negeri dan daerah, sektor swasta dan industri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO) serta akademi.
“Aktiviti peningkatan ekonomi, penjanaan pendapatan dan pembangunan kapasiti serta minda yang sesuai akan dilaksanakan berdasarkan potensi lokaliti dan profil ketua isi rumah miskin tegar,” katanya. – KOSMO! ONLINE